Sejarah Sekolah


   Pada tahun 1987, Yayasan Al-Ehya Asshariff (ketika itu dikenali sebagai Persatuan Al-Ehya Asshariff) membuka kembali kelas tadika yang mana pada masa dahulu dikenali sebagai kelas DIDIK. Ini memandangkan permintaan dari penduduk setempat yang mahukan pendidikan awal anak-anak mereka di peringkat pra-persekolahan. Menyedari akan hakikat inilah, Ehya telah mengambil inisiatif untuk membuka kelas tadika dimana pada masa itu belum ada lagi kelas yang seumpama itu diwujudkan di lain-lain tempat.

     Pada peringkat permulaan , seramai 20 orang kanak-kanak yang berumur 6 tahun diambil sebagai murid dengan seorang tenaga pengajar. Kelas ini terus mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat setempat walaupun sudah ada beberapa pihak yang turut mewujudkan tadika lain. Setelah berjalan dengan jayanya sekian lama , ada permintaan untuk diwujudkan satu sistem pendidikan alternatif untuk pendidikan sekolah rendah. Memandangkan keperluan dan kemampuan yang ada, maka pada tahun 1994 wujudlah Sekolah Rendah Islam Al-Ehya Asshariff (SRIES) dengan permulaan kelas Tahun 1 seramai 5 orang murid. Tahun-tahun berikutnya , masyarakat memberikan sokongan dengan baik maka ia terus wujud dari Tahun 1 hingga Tahun 6.

Pada tahun 1997, sesuai dengan kehendak Enakmen Kawalan Sekolah-sekolah Islam 1996, SRIES mendaftar dengan pendaftar Sekolah-sekolah Agama Islam Perak Darul Ridzuan dengan nombor pendaftaran J.A.I.Pk / SRAR / BS.1 / 97. Pada tahun 1998, buat pertama kalinya seorang calon SRIES menduduki peperiksaan UPSR walaupun pusat peperiksaan ketika itu menumpang di Sekolah Rendah Agama Ar-Ridhwaniah yang juga sudah ada pusat peperiksaan sendiri.

Pada tahun 1999, Kementerian Pendidikan telah meluluskan permohonan SRIES untuk menjadi pusat peperiksaan UPSR.

Pada tahun 2005, atas kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia , SRIES telah mendaftar dengan kementerian. Setelah mendaftar dengan kementerian, SRIES akan mendapat kemudahan-kemudahan yang sama seperti SK biasa antaranya Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Skim Baucer Tuisyen (SBT) dan sebagainya. Kini , SRIES meneruskan perjuangan bagi memberikan pendidikan semaksima kepada masyarakat dengan satu harapan untuk melahirkan Generasi Rabbani yang mendapat kejayaan di dunia serta di akhirat.